Saturday, January 16, 2010

Teruskan Amalan Soleh Selepas Ramadhan

MUQADDIMAH
Bulan puasa sudah beberapa hari berlalu. Walaupun sebulan, kita merasakan waktu bersamanya cuma seketika. Dalam masa yang sama kita mengaharapkan dapat bertemu lagi Ramadhan, “Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadhan yang akan datang”. Itulah erti doa yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.
BERTAUBAT
Di dalam bulan yang mulia itu kita seolah-olah berada di dalam sebuah madrasah terbuka yang mengajar kita pelbagai perkara antaranya ialah bertaubat. Firman Allah S.W.T yang berbunyi :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءامَنُوا تُوبُوا إِلَى اللهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ يَوْمَ لا يُخْزِي اللهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ ءامَنُوا مَعَهُ نُورُهُمْ يَسْعَى بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ } سورة التحريم ءاية 8

Ertinya :
Hai orang-orang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: “Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.

Taubat yang dituntut adalah taubat nasuha. Taubat yang sempurna inilah disukai oleh Allah S.W.T. Marilah kita bertaubat dari segala dosa dengan penuh sesalan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi.
AMALAN SOLEH
Begitu juga kita digalakan beramal soleh. Alangkah indahnya satu peristiwa yang berlaku ke atas seorang hamba yang bernama Sabit Al-Banani. Setelah kematiannya , masih lagi kedengaran bacaan Al-Quran dari kuburnya. Apabila diajukan persoalan tersebut kepada orang yang memasukkan jasadnya ke dalam kubur saat dikebumikan, lalu dia menceritakan : “Setelah aku memasukkan jasad Sabit Al-Banani ke dalam liang lahad, aku pun menyusun bata-bata untuk menutup pintu kuburnya. Tiba-tiba seketul bata telah terjatuh ke dalam kuburnya. Aku pun turun semula ke dalamnya untuk mengambil bata tersebut. Pada masa yang sama aku terlihat Sabit Al-Banani berdiri menunaikan solat di dalam kuburnya itu. Aku bertanya kepada seorang rakanku yang berada disebelahku adakah dia nampak peristiwa tersebut? Tetapi rakanku itu menyuruh aku diam sahaja. Bila kami menutup semula pintu kubur itu, kami pun terus pergi berjumpa dengan anak perempuannya lalu bertanya kepadanya apakah yang telah dilakukan oleh bapanya semasa hidup dahulu?”. Anaknya itu bertanya semula kepada kami apakah yang kami lihat? Kami pun menceritakan peristiwa yang telah terjadi. Lalu anaknya pun menjelaskan bahawa ayahnya semasa hidup dahulu, sentiasa berqiamullail selama 50 tahun! Pada waktu sahur pula dia akan berdoa dengan doa ini : “ Ya Allah Ya Tuhanku! Sekiranya Engkau telah anugerahkan kepada sesiapa sahaja di kalangan hambamu dengan bersolat di dalam kuburnya, maka anugerahkanlah juga kelebihan itu kepadaku” Jadi dengan kejadian itu, Allah telah memakbulkan doanya”.
Hamba yang soleh itu berterusan melakukan solat sunat selam 50 tahun dan memohon kepada Allah agar dikurniakan kepadanya solat di dalam kubur lalu Allah telah memakbulkan doanya. Akan tetapi pada zaman ini terdapat segolongan manusia yang sentiasa malas menunaikan kewajipan solat. Ada yang hanya menunaikan solat di dalam bulan puasa sahaja, selepas habis bulan puasa, terus tidak melakukan solat wa nau’zu billahi minzalik.
Lupakah kepada peristiwa yang telah dilalui oleh Nabi pada malam israk dan mikraj? Baginda melihat satu kumpulan manusia yang memecahkan kepala mereka sendiri, kemudian kepala yang pecah itu kembali bercantum, begitulah seterusnya. Jibril pun menjelaskan kepada Nabi bahawa itu adalah golongan manusia yang berat kepala menunaikan solat.
Wahai saudaraku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanya seketika cuma. Tidak semena-mena maut datang menjemput. Lihatlah kepada sang hamba yang sentiasa beramal untuk kehidupan selepas mati. Ingatlah bahawa kelalaian tidak memberi apa-apa manfaat dan harta dunia hanyalah sedikit berbanding harta akhirat.
Alangkah besarnya kegembiraan seorang hamba yang beriman lagi soleh apabila melakukan kebaikan di dalam bulan Ramadhan. Bertambah-tambahlah kegembiraannya apabila dia dapat meneruskan amalan baik itu walaupun selepas bulan Ramadhan. Dia terus memelihara lidahnya dari perkara yang dimurkai Allah. Begitu juga apabila dia terus melaksanakan puasa dan solat samaada yang wajib mahupun sunat. Bukan itu sahaja,dia juga beria-ia untuk menambahkan ilmu dengan mula mengunjungi majlis-majlis ilmu yang mungkin diabaikannya sebelum ini. Nabi bersabda yang bermaksud :
” Tidaklah kenyang seorang mukmin itu daripada kebaikan (ilmu) yang didengarnya sehinggalah penamatnya adalah syurga”
Wahai saudaraku! Kekadang seorang manusia itu lalai dengan kehidupannya, kemudian ia pun tersedar lalu mencari pintu taubat. Pintu taubat akan sentiasa terbuka selagi roh tidak lagi sampai ke halkum dan selagi matahari tidak terbit dari sebelah barat dan juga selagi dia tidak melihat malaikat Izrail a.s.
Gembiralah orang yang telah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Kita mungkin gembira dengan Aidilfitri yang telah berlalu, tetapi disana ada satu lagi kegembiraan yang lebih besar menanti orang-orang yang soleh dan beriman iaitulah lembaran amalannya pada hari kiamat yang menunjukan kebaikan yang telah dilakukannya semasa hidup di dunia. Sedangkan pada masa yang sama orang-orang yang lalai di dunia dan tidak bertaubat, berada dalam kerugian dan kekesalan sedang menanti hukuman.
Orang yang bertaubat itu berada bersama-sama orang beriman yang lain di dalam syurga menikmati manisan dan makanan ahli syurga. Bukan itu sahaja, bahkan mereka juga akan berdamping dengan Nabi Muhammad S.A.W.
PUASA ENAM HARI
Janganlah engkau lupa wahai saudaraku dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawwal. Amalan ini disunatkan kepada kita berdasarkan sebuah Hadis Nabi yang berbunyi maksudnya :
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan enam hari dalam bulan Syawwal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun”.
Para Ulamak tidak mensyaratkan puasa di dalam bulan Syawwal dilakukan secara berturut-turut. Ianya boleh dilakukan secara berselang seli.
AKHIRNYA :
Ya Allah! Sesungguhnya kami semua mendambakan cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu dan juga amalan yang boleh menyampaikan kami kepada cintamu, Ya Allah! Jadikanlah cintaMu sebaik-baik cinta kepada kami berbanding diri kami sendiri, keluarga kami dan lebih baik lagi berbanding air yang sejuk.
Anda mungkin juga meminati:

HARI RAYA : HARI PERHIASAN DAN SENYUMAN

0 comments:

Post a Comment